Wednesday, November 20, 2013

cinta ini (bab 2)

2

  “ Selamat pagi, Juwita,”

  “ Pagi, Encik Haq. Pagi ini, encik ada mesyuarat dengan ahli lembaga pengarah. Datuk berkeras nak encik pergi sebab minggu lepas encik dah ponteng katanya. Lepas tu, encik ada lunch dengan Datuk Ismail di golf course. Katanya, nak bincang tentang projek dewan bandaraya baru tu,” aku menggaru kepalaku. Sudahlah bersepah-sepah dokumen dan blueprint di atas meja, sekarang otak pun dah macam bersepah-sepah dibuatnya!

  “ Tentang meeting BOD tu, tengok dululah. Kalau rajin, saya datang. Lagipun, kerja saya berlambak ni. Kalau ada siapa-siapa bising suruh saya datang juga, suruh diorang datang tolong saya siapkan kerja yang berlambak ni,” aku bersuara keras. Hatiku memang malas untuk menyertai mesyuarat ahli lembaga pengarah itu. Bosan dan bosan…dan bosan! Mendengar mereka bertekak tentang syer, tentang perkara yang berbangkit. Lagi-lagi kalau ada ummi dan kakak. Mesyuarat akan menjadi lebih panas. Walaupun ahli lembaga pengarah ada enam orang saja; walid, aku, kakak, ummi dan dua orang lagi penyumbang dana, tetapi lagaknya seperti ada sepuluh orang sedang bermesyuarat.

  “ Tapi, saya nak cakap apa dengan Datuk?”

  “ Erm, cakap saya sibuk. Tentang Datuk Ismail tu, awak tolong beritahu dia yang saya tunda ke waktu petang. Lepas waktu pejabat. Sebab saya nak balik lunch dengan isteri saya,” kataku tanpa memandang Juwita yang terpisat-pisat di hadapanku.

  “ Baiklah, kalau macam tu,” katanya sebelum keluar. Aku menghela nafas panjang. Tanpa bertangguh lagi, aku meneruskan kerjaku yang bertimbun-timbun di atas meja. Namun, fikiran aku mengelamun memikirkan perangai Nur yang kelihatan agak aneh pagi ini.

  “ So, I wonder.. What makes my own son refuse to see me? Too much work to do, isn’t it?” tiba-tiba saja walid terpacul di hadapan pintu. Dia tersenyum manis.

  “ Astagfirullah..walid, masuklah. Kenapa jenguk aje,” walid masuk ke dalam bilikku dan menutup pintu, perlahan. Di tangannya ada sebatang ais krim Magnum. Walid memang suka makan ais krim. Seingat aku, peti sejuk di dalam biliknya itu dipenuhi dengan pelbagai jenis ais krim dan yogurt. Apabila dia meronda ke sekitar pejabat, tangannya pasti ada sebatang ais krim.

  “ Sekarang ni agaknya memang dah terbalik stail kot? Macamana boleh CEO datang jumpa arkitek?” walid mula berseloroh. Aku menjadi segan. Sepanjang aku bekerja di syarikat walid ini, Cuma dua kali sahaja aku menjenguk pejabat walid walaupun berada di bawah satu bumbung. Kalau diikutkan, pejabat walid hanya selang setingkat sahaja dengan Bahagian Rekaan Dalaman, tempatku bekerja.

  Tetapi aku betul-betul tabik dengan walid. Dia tidak kisah berjalan-jalan dan berjumpa dengan staff setiap hari. Walaupun kerjanya berlambak, namun paling tidak dia pasti meluangkan masa selama sejam bersama-sama dengan pekerja yang lain. Dari pangkat eksekutif, professional, pentadbiran sampailah ke bahagian janitor pun, dia tetap berjumpa dan bermesra dengan mereka. Dari situ, dia dapat mengenali karakter pekerja-pekerja syarikat miliknya. Lagipun, walid bukan seorang yang sangat berprotokol dan serius. Dia suka bergurau dan kadang-kadang suka bermain-main. Dia lebih suka mendiamkan diri jika tidak sukakan sesuatu perkara. Dia lebih suka tersenyum dan ketawa. Tetapi kadang-kadang, dia akan menegur kesilapan yang serius pada pandangannya. Jika orang itu ambil hati tentang tegurannya, dia akan cepat-cepat mencari idea untuk membuat lawak jenaka agar suasana menjadi lebih tenang.

  “ So, apa khabar menantu walid?” tiba-tiba walid bertanya tentang Nur. Aku hanya tersenyum kerana teringat peristiwa pertama kali aku membawa Nur sebagai isteriku kepada walid. Nur memanggil walid dengan panggilan Datuk.

  “ Datuk? Eh, biar betul ni Nur! Takkan dah tak kenal mana satu datuk, mana satu ayah? Ni walid ni, kalau datuk…Imam Rahman tu datuk, ya?” gurau walid. Nur tersipu-sipu malu. Walid hanya mengusap kepala Nur perlahan.

  “ Lepas ni, kita geng la ye!” kata-kata walid disambut dengan hilai tawa kami.

  “ Nur sihat. Mungkin minggu depan dia akan mendaftar semula ke kampus. Tempoh pengecualian semester pun dah habis,” balasku panjang lebar. Walid mengangguk perlahan. Dia memandang wajahku sambil tersenyum.

  “ Rindulah Haq nanti,” usik walid. Aku hanya ketawa besar. Walid memang pakar dalam mengenakan dan mengusik orang.

  “ Haq,”

  “ Ya, walid?”

  “ Malam ni, bawa Nur pergi Masjid ‘Ain. Walid ada buat tahlil sikit untuk arwah mertua Haq. Dah setahun dah mereka meninggal dunia, kan?” aku tersentak. Hari inikah? Patutlah Nur nampak agak muram. Aku betul-betul terlupa!

  “ Astagfirullah! Haq lupa, walid,” aku mengeluh. Bagaimanalah perkara sepenting ini boleh dilupakan? Aku memang tidak patut!

  “ Walid dah agak dah. Kesian Nur. Agaknya walid seorang aje yang ingat tentang hal ni,” dia tersengih. Aku mula menyesali atas kealpaan diriku. Macamana sekarang?

  “ Okay, nanti Haq bawa dia. Ummi dengan kakak ikut sekali tak?”

  “  Lepas maghrib tau. Jemaah isyak sekali,”

  “ Ummi dengan kakak?” walid hanya mengangkat bahu apabila aku bertanya tentang perihal ummi dan kakak. Dia bangun perlahan-lahan dari kerusi.

  “ Jangan lupa malam ni, tau? Dan, BOD meeting... an hour from now,” kata walid sambil berlalu dari pejabatku.

  Aku bersandar di kerusi. Rasa bersalah mula menghantui fikiranku. Aku sedar, sejak kebelakangan ini, aku agak mengabaikan Nur. Padahal, semenjak aku berkahwin dengannya, rezekiku berlimpah ruah dengan izin Allah. Aku seperti alpa dengan kurniaan-Nya yang memberikan Nur kepadaku. Walaupun kami berkahwin bukan atas dasar cinta, tetapi Nur tetap seorang isteri dari segi syarak dan undang-undang. Nasib aku baik kerana Nur seorang yang sangat memahami, walaupun kadang-kala dia suka membangkitkan isu ingin aku berkahwin dengan wanita yang aku cinta. Lebih-lebih lagi, setelah dia mendapat layanan yang dingin daripada ummi dan kakak.

  Entah bilalah ummi akan menerima hakikat dia bermenantukan Nur? Setiap hari, ada sahaja idea kurang cerdik ummi untuk memisahkan kami berdua. Contohnya, perihal tentang kejadian semalam. Aku dipaksa duduk lama-lama di rumahnya dan melayan kerenah Datin Huda, teman rapatnya. Dengan penuh alasan yang kedengaran meyakinkan, aku terpaksa tinggal di situ, kononnya untuk berbincang tentang projek pengubahsuaian hiasan dalaman rumah anak perempuan Datin Huda. Alih-alih, mereka bercerita pula tentang orangnya yang bernama Fansuri. Topik asal sudahpun lari hanya setelah sepuluh minit bercerita soal pengubahsuaian itu. Aku mula bosan apabila ummi asyik memuji Fansuri. Fansuri itu, Fansuri ini. Adakah dia tidak sedar aku sudah beristeri?

  Aku merasa bersalah terhadap Nur. Sepanjang malam, dia menelefon aku tetapi aku tidak boleh menjawab telefon dengan adanya gangguan dari ummi dan Datin Huda. Apabila telefonku berbunyi, mereka mula membuka mulut tentang ubahsuai. Bila telefon tidak berbunyi lagi, eh..mereka bercerita lagi tentang Fansuri. Akhirnya, penyeksaan batinku berakhir apabila aku berkeras juga ingin pulang dan walid menyokongku dengan mengatakan, tidak elok bertandang hingga lewat malam di rumah orang. Sebenarnya, kata-kata itu ditujukan khas untuk Datin Huda yang masih tidak tahu-tahu lagi untuk pulang ke rumah sendiri walaupun jam sudah menunjukkan waktu satu pagi. Pengakhirannya, aku sampai di rumah dalam keadaan yang letih dan pening.

  Aku tahu, ummi benci pada Nur. Aku masih ingat dengan jelas riak wajahnya dan kata-kata ummi pada saat aku membuka mulut memberitahu yang aku akan berkahwin dengannya.

  “ Haq ni dah gila ke!? Tak ada angin ribut, tiba-tiba nak kahwin dengan Nur!” suara ummi menyinga menusuk ke dalam cuping telingaku. Walid hanya diam. Namun, sejak awal lagi dia sudah memberi persetujuan yang tidak berbelah bahagi dengan keputusanku.

  “ Haq nak tolong dia, ummi. Dalam keadaan dia yang macam tu, dengan hidup terbuang dari saudara mara, dia perlukan Haq. Perlukan sokongan Haq, bimbingan Haq. Tolonglah faham, ummi,” aku mmpertahankan tindakan dan keputusanku.

  “ Haq, kenapa Haq nak menyusahkan diri kahwin dengan orang gila macam tu! Nur tu dah tak betul, dah tak siuman! Nak bimbing apa lagi kalau dah gila? Orang gila patut hantar aje ke wad psikatrik!” ummi membentak lagi. Aku hanya menggelengkan kepalaku. Kenapa ummi sangat bersikap skeptical tentang Nur?

  “ Maaf, untuk kali pertama Haq terpaksa membantah kata ummi. Nur tak gila. Dia Cuma tertekan dengan keadaan sekelilingnya yang kejam. Keputusan yang Haq ambil ni adalah untuk kebaikan semua. Haq akan bantu Nur untuk pulih dan satu hari nanti, ummi akan berbangga sebab dapat menantu yang baik budi pekerti macam Nur!” aku mula berkeras dan tegas. Ummi hanya terdiam dan berlalu dari ruang tamu. Walid duduk dengan tenang di sebelahku. Aku fikir, walid juga mungkin akan mengubah fikiran apabila mendengar kata-kata ummi.

  “ So, Haq nak honeymoon di mana?” pertanyaan walid menyebabkan aku ketawa kecil. Serentak aku memeluknya dan mengalirkan air mata. Restu walid adalah segala-galanya bagiku. Budi walid tak terbalas bagai setinggi gunung.

  Nur bukan orang gila. Dia normal. Dia Cuma tertekan. Peristiwa kebakaran di Kampung Genting Pecah itu telah merubah seluruh kehidupannya. Hendak mengharapkan saudara mara, saudara maranya pun tidak berguna. Aku masih tidak mengerti mengapa masih ada lagi manusia yang sanggup mengkhianati darah daging mereka sendiri. Aku fikir, Pak Teh akan menolong Nur kerana dia nampaknya beria-ia ingin menjaga Nur selepas peristiwa itu. Tetapi, apa yang kami harapkan, lain pula jadinya. Pak Teh telah memanipulasikan wasiat arwah ayah dan Nur kehilangan segala-galanya. Dia sanggup mengurung Nur seperti binatang selagi Nur tidak menurunkan cap jarinya ke atas surat palsu itu. Dia juga cuba untuk memperkosa Nur sebagai bentuk satu ugutan agar Nur menurunkan cap jarinya. Penyeksaan zahir dan batin Nur tidak pernah berhenti setiap hari. Dia jadi tertekan dan kurang waras.

  Akhirnya, apa yang Pak Teh hajatkan tercapai apabila Nur tidak sanggup lagi menahan penyeksaan itu. Nur merasakan dia tidak memerlukan harta itu jika dia terus terseksa seperti ini. Dia akhirnya melepaskan kesemua haknya kepada Pak Teh. Nur fikir, dia akan dibebaskan. Malangnya, Pak Teh masih berdendam padanya dan merancang untuk menjual Nur ke rumah pelacuran. Dan, Hazri anaknya sendiri ingin menjadi pelanggan pertama Nur. Sungguh menjijikkan!

  Allah Maha Penyayang. Sewaktu mereka sedang berbincang dengan taukeh lembah kotor itu, Nur mengambil peluang untuk lari dari situ. Dia merempat di merata-rata tempat sebelum ditemui oleh datuk di perhentian bas ketika ingin menghantar saudara pulang ke kampung. Datuk membawa Nur pulang dan menjaganya buat sementara waktu. Datuk dan nenek menelan segala fitnah yang dilemparkan ke atas Nur dan tidak menghiraukan cakap-cakap orang kampung.

  Nur sendiri yang ingin mendapatkan rawatan psikatrik. Padanya, dirinya perlu diubati dengan bantuan orang yang pakar. Dia mahu membuktikan yang dia tidak seperti apa yang orang kampung katakan. Mereka menuduhnya gila, pelacur, sanggup menjual maruah untuk membayar hutang dan disumpah oleh sumpah arwah emak dan ayah kerana memalukan keluarga. Walaupun tiada sesiapapun yang memberitahu kami dari mana mereka mendapat cerita itu, tetapi kami tahu Pak Tehlah tok dalang di sebalik fitnah-fitnah itu. Dia masih belum puas kerana tidak dapat memusnahkan keturunan ayah di muka bumi itu. Begitulah, betapa busuk hati Pak Teh!

  Apabila Nur keluar dari hospital mental, keadaannya tidak berubah. Dia masih tertekan seperti dahulu. Datuk mengambil keputusan untuk menghubungiku agar pulang segera ke kampung. Teman-teman kami tidak boleh menolongnya lagi. Mereka sudah mencuba pelbagai cara, tetapi Nur masih juga begitu. Murung, menangis dan berkurung di dalam bilik rumah datuk. Aku yang sepatutnya menyambung pengajian master ke Amerika Syarikat segera membatalkan hasrat tersebut. Aku segera pulang walaupun ummi membantah aku ke sana.

  Aku pulang ke kampung dengan satu tekad yang besar. Aku ingin mengembalikan Nur yang dulu. Apabila aku pulang, aku melihat keadaan Nur sangat teruk. Aku sedaya upaya cuba untuk membantunya pulih. Adakalanya, kesabaranku agak menipis. Aku memarahinya. Namun, aku sedar Nur tidak bersalah. Aku bersabar dengan dugaan ini. Aku terus membantunya, walaupun cabaran yang bukan calang-calang perlu aku hadapi. Acap kali, aku dan Nur hampir ditangkap khalwat oleh orang kampung walhal kami tidak pernah berdua-duaan kerana Nur sering ditemani oleh nenek. Akhirnya, Nur bangkit semula dari kekusutan yang melandanya hampir dua bulan lamanya.

  “ Haq, atuk nak cakap sikit boleh?” suatu petang, sewaktu aku sedang duduk bersantai dengan datuk di beranda rumah, datuk memulakan bicara.

  “ Hal apa, tok?”

  “ Hal kamu dengan Nur,” aku tersentak. Ada apa lagi ni? Aku mula berteka-teki di dalam hati.

  “ Atuk tengok, Nur pun dah makin bersemangat. Sejak kamu tolong dia ni, dia dah mula menunjukkan tanda-tanda positif yang baik. Doktor pun dah sahkan yang dia dahpun bebas dari penyakit stress tu. Alhamdulillah..” aku juga mengucap tanda syukur di dalam hati di atas perubahan positif Nur.

  “ Atuk sayang kamu, Haq. Kamu sajalah cucu lelaki atuk. Atuk pun sayang pada Nur macamana atuk sayang pada kamu. Atuk mula terfikir, macamana kalau kamu dah balik K.L nanti? Siapa nak jaga Nur? Atuk risau dia akan sakit lagi bila kamu tak ada untuk menolong dia. Atuk dan nenek dah tua, Haq. Kami tak tahu macamana nak tolong dia,” aku mengerutkan dahinya tanda tidak mengerti apa yang datuk maksudkan.

  “ Habis tu, atuk nak Haq buat apa?” tanyaku ringkas. Atuk merenung mataku.

  “ Atuk nak kamu kahwin dengan Nur, boleh?” serentak itu, kami sama-sama terkejut apabila bunyi seperti kaca pecah kedengaran dari belakang kami. Aku menoleh. Nur sedang berdiri tegak. Mulutnya tergamam. Wajahnya pucat dan kelihatan sangat terkejut. Aku hanya mengukir senyuman. Nenek yang tidak mendengar perbualan kami tadi, dengan penuh selambanya mengambil penyapu dan menyapu baki kaca yang pecah tadi.


  Sawah padi masih menghijau. Aku memandang kiri dan kanan. Akhirnya, pandangan mataku termati di satu denai di tengah sawah. Nur ada di situ. Dengan baju kurung kedah berbunga biru, seluar sukan dan rambut yang ditocang satu, dia melemparkan pandangannya jauh ke tengah sawah.

  “ Nenek cari kau,”

  “ Nenek ke, kau?”

  “ Erm..aku pun cari juga. Huhu,” aku pura-pura ketawa. Ketawa palsu. Nur hanya tersenyum kelat. Perlahan-lahan, aku duduk di sebelahnya.

  “ Haq, kenapa kau setuju dengan cadangan atuk?” aku tersenyum apabila Nur bertanya tentang perihal itu. Sebentar tadi, selepas Nur mengorbankan tiga biji cawan arc opal antic nenek, aku memberi persetujuan untuk mengahwini Nur. Nur yang benar-benar terkejut dengan kata-kataku terus meluru keluar dari rumah. Itu yang membawa kami ke tengah sawah sekarang.

  “ Kenapa kau tanya? Kau tak suka?”

  “ Kita tak pernah bercinta, Haq. Tak mungkin kau akan kahwin dengan aku,”

  “ Kenapa pula?”

  “ Aku tak nak kau rasa terbeban. Aku ni perempuan yang tak sepadan dengan kau. Aku ni dah tak ada masa depan lagi. Tak ada keistimewaan pada diri aku yang boleh dijadikan calon isteri dan menantu dalam keluarga kau. Carilah perempuan yang lebih cantik dan sekufu dengan kau,” kata-kata Nur kusambut dengan gelak tawa besar. Nur kehairanan.

  “ Kenapa kau ketawa?”

  “ Macam tu sekali kau merendahkan martabat kau? Tak ada masa depan? Tak sekufu? Tak cantik? Tak layak? Aku nak tanya sikit,” kataku sambil memandang mata bening Nur yang berkaca.

  “ Apa dia?’

  “ Kau hodoh sangat ke? Hidung patah? Gigi rongak?”

  “ Tak,”

  “ Kau bodoh sangat ke? Tak pernah pergi sekolah? Buta huruf?”

  “ Tak juga,”

  “ Yelah, setahu aku kau bakal dapat ijazah tahun ni, kan?” Nur mengangguk.

  “ Kau dah pernah tengok masa depan ke?” tanyaku tiba-tiba. Nur memandang wajahku. Dia menggeleng kepalanya. Aku menghela nafas panjang sebelum menyambung kembali jawapanku.

  “ Kita sama saja, tak ada perkara yang membezakan kita berdua. Aku kahwin dengan kau pun kerana masa depan kau. Aku yakin, kau masih perlu pertolongan aku. Kalau kita kahwin, aku boleh membimbing kau, menjaga kau dan bersama kau tanpa sebarang ragu lagi. Kita boleh menutup mulut-mulut orang yang jahat pada kau selama ni. Atuk dan nenek takkan kehilangan kau lagi. Kau yakin ke, kalau kau kahwin dengan orang lain, orang tu akan membahagiakan kau dan menjaga kau? Aku takut ada orang akan ambil kesempatan pada diri kau lagi,” Nur terdiam seketika. Dia tunduk menguis-nguis rumput kering di bawah telapak kakinya.

  “ Aku tak nak menyeksa jiwa kau, Haq. Kau tau,kan? Aku tak pernah cintakan kau,”

  “ Aku tahu perasaan kau. Tapi tujuan aku kahwin dengan kau sebab aku tak nak kau terumbang-ambing tanpa aku, kawan baik kau di sisi kau. Cinta tu nombor dua, Nur. Aku kahwin dengan kau sebab nilai persahabatan kita. Nilai yang tak boleh ditukar ganti lagi. Lebih bernilai dari cinta,” kataku sambil memegang tangannya. Mata Nur mula berkaca. Hatiku juga sebak dibuatnya.

  “ Maaf, Haq. Aku tak nak kau terseksa,”

  “ Nur, anggap saja kau berkahwin dengan aku atas dasar persahabatan. Aku hormatkan nilai persahabatan kita berdua. Aku akan hormat kehendak kau. Kalau kau tak nak aku sentuh kau, aku akan jaga batas perhubungan kita. Jangan fikir tentang hal cinta dan perasaan tu. Kahwinlah dengan aku, Nur. Aku akan bebaskan kau dari belenggu ni, selamanya,” pujukanku nampaknya membuahkan hasil. Nur termenung sejenak untuk berfikir. Aku menanti dengan penuh debaran.

  “ Baik, aku setuju. Demi atuk dan nenek. Tapi, kau kena janji pada aku satu perkara. Bila kau dah jatuh cinta dengan sesiapa, kau kena beritahu aku. Lepas tu, lepaskan aku dan kahwinlah dengan dia. Aku tak nak membebankan kau lagi selepas tu,” Nur memberitahu syarat untuk aku patuhi. Aku bersetuju.
Maka, berkahwinlah kami dalam suasana yang gembira dan meriah. Aku sendiri pun tidak menyangka akan diraikan dengan penuh meriah oleh keluarga kami. Atuk dan walid adalah insan yang paling gembira hari itu. Saudara mara Nur ada juga yang hadir walaupun sebahagian daripada mereka masih memulaukan Nur. Namun, aku cukup bersyukur akhirnya Nur menjadi jodohku yang tertulis di dalam takdirku. Dan, seperti yang telah aku janjikan, aku tidak pernah menyentuh tubuh Nur, hinggalah tiba-tiba hatiku mula tergugat semalam…

  Aku melangkah longlai. Jam menunjukkan pukul satu setengah pagi. Aku mengeluh kepenatan. Sampai hati ummi menahan aku untuk pulang ke rumah sendiri! Benci!

  “ Aku dah balik,” kataku, perlahan. Aku melonggarkan tali leherku, melemparkan briefcase dan duduk terhenyak di atas kerusi. Tiba-tiba, barulah aku terperasan yang Nur sedang tidur di atas sofa panjang di sebelah kerusiku. Tangannya menggenggam telefon bimbit. Kesian Nur! Dia terlalu lama menungguku.
Aku bercadang ingin mengejutkan Nur. Tentu tidak selesa berbaring di atas sofa begitu. Aku memegang bahunya perlahan. Lena sungguh Nur tidur! Dia pasti sangat kepenatan. Aku memegang sebelah lagi bahunya.

  Tiba-tiba, perasaanku berdebar-debar. Mataku memandang bibir penuh Nur yang kemerah-merahan itu. Bagaikan ada satu tarikan yang menarik aku untuk mendekati mulut mungil itu. Semakin lama, semakin aku merapati mulut itu. Hatiku menjerit geram.

  “ Ish!” aku mematikan hasratku. Aku segera mengangkat Nur perlahan-lahan menuju ke dalam bilik tidurnya. Perlahan-lahan aku membuka pintu dan membawa Nur ke katilnya. Aku membaringkan Nur dengan berhati-hati dan menarik selimutnya.

  Aku ingin berlalu dari situ, tetapi hatiku menafikan kakiku melangkah pergi. Jangan pergi, Haq! Dia perlukan kau malam ini! Aku bertarung dengan perasaanku sendiri. Hati mahukan itu, kaki mahu aku pergi. Aku mula keliru. Aku takkan memiliki Nur tanpa kebenarannya. Itu namanya merogol! Tak gunalah kau ni Haq kalau sampai kau merogol dia! Namun, hatiku menjerit mahukan dia. Mahukan dia yang sepatutnya sudah aku miliki lapan bulan yang lalu. Sah!

  Aku mengalah pada hatiku sendiri. Pun begitu aku bertegas juga dengannya. Perlahan-lahan, aku merapati Nur. Aku melutut di sebelah tubuhnya yang sedang lena diulit mimpi indah. Aku merapatkan mulutku ke arah mulutnya yang mungil lagi menggiurkan itu. Kehangatan seperti terkena renjatan elektrik mula mengalir ke dalam tubuhku.

  Cukup! Jeritku di dalam hati. Cukuplah tu! Aku tidak mahu meneruskan lagi. Aku segera berlalu dari bilik Nur menuju ke bilikku. Aku menutup pintu dengan cepat dan meraut wajahku sendiri. Aku sudah berjanji dengan Nur. Aku tidak akan mungkir! Tidak mungkin!
Tetapi, kenapa tiba-tiba aku merasa aku terlalu memerlukan Nur? Aku terasa amat menyayanginya. Seperti akan tubuh bunga-bunga kasih di dalam hatiku terhadap Nur. Aku tidak mahu kehilangan Nur. Aku mahu dia menjadi sebahagian dalam diriku.

  “ Subahanallah!” aku beristigfar. Perlahan-lahan, mataku terpejam. Dan wajah Nur menjadi mimpiku malam itu.


  “ Encik Haq! Meeting in fifteen minutes!” jeritan walid mematikan lamunanku. Aku tersedar sambil tersenyum. Aku mula sedar, aku sudahpun bertemu dengan wanita yang aku cintai. Nur Hikmah adalah wanita yang aku cintai. Aku cinta padanya. Tapi, bagaimana perasaannya terhadapku? Cintakah dia padaku? Adakah sudah ada perasaan cinta terhadap diriku di dalam dirinya? Nur, adakah kau juga mencintai aku?

No comments:

Post a Comment