Tuesday, November 19, 2013

Cinta Ini ( Bab 1)

1


   Aku membuka perlahan pintu biliknya. Di dalam kegelapan bilik itu, aku masih dapat melihat Haq sedang enak berlingkar di atas katil. Comforter berwarna hijau lumut, warna kegemarannya, segera ditarik hingga ke hujung kepala.

   Aduhai! Aku mengeluh di dalam hati. Lantai bilik Haq dipenuhi dengan baju-baju yang bersepah-sepah di sana-sini. Haq ni, penyepah betul! Nasib baik lagi biliknya tidak berbau hapak, Cuma yang melekat adalah bau wangian Patrick Dempsey a.ka McDreamy yang menjadi kegemarannya sejak akhir-akhir ini.

  Aku menyelak tirai langsir yang berwarna senada. Haq mula mengeliat tetapi matanya masih belum terbuka. Hatiku menjadi geram. Aku menarik birai day curtain berwarna krim. Mata Haq masih terpejam.

  “ Haq, bangun! Bangunlah!” jeritanku agak keras dan kuat. Aku berpaling membelakangi Haq. Telingaku menangkap bunyi katil bergerak. Mulutnya, entah apa diomelnya, atau dia mungkin sedang merungut kerana tidurnya terganggu. Aku kurang pasti, tetapi aku tidak peduli. Ada aku kisah?!

  “ Nur..aku baru nak lena ni..”

  “ Lena apa, dah pukul lapan ni?! Tak nak pergi kerja?” tanyaku dengan nada yang keras. Haq bingkas bangun dari pembaringannya, tetapi masih bermalas-malasan di atas katil. Aku masih dengan aktiviti mengutip baju-bajunya yang bersepah di atas lantai. Aku terdengar dia bangun dari katil. Hajatku ingin memarahinya lagi. Tetapi, apabila aku berpusing, aku terpandang Haq sedang berdiri dengan hanya berseluar dalam. Aku menjerit kecil lantas berpaling ke belakang semula. Aku terdengar Haq ketawa mengekek.

  “ Hello, Encik Haqiem Azriq, boleh tak kalau tidur tu pakai yang senonoh sikit?!” kataku separuh geram. Cepat-cepat aku melemparkan tuala mandi yang tersangkut pada birai katil bertiang itu.

  “ Relakslah Nur, kau kan isteri aku. Apa yang nak dimalukan sangat,” balas Haq. Tawa masih bersisa di hujung mulutnya. Dia sedang terkial-kial membalut bahagian yang dari tadi patut ditutup dengan sempurna.

  Aku menelan air liur. Memang benar apa yang dikatakan oleh Haq. Aku isterinya. Isteri yang sah dinikahi hampir lapan bulan yang lalu. Namun, kami berpisah tempat tidur. Kami bernikah pun kerana atas dasar perasaan ingin membantu satu sama lain. Persahabatan kami sejak kecil, tak tersangka-sangka berakhir dengan ikatan perkahwinan. Namun, atas sebab-sebab yang mungkin agak relevan bagi Haq, dia tidak memaksa aku untuk tidur sebilik. Sebaliknya, dia memberi aku masa untuk aku menyesuaikan diri dengan keadaan hidup bersama dirinya.

  Aku masih mengutip baju yang bersepah. Seluar dalam pun dia sepahkan jugakah? Aku mengangkat perlahan seluar dalam itu. Tiba-tiba, Haq merampasnya dari tanganku. Aku ketawa kecil. Tahu malu pula!

  “ Alah, relakslah Haq. Apa nak dimalukan? Aku kan isteri kau, jadi tak kisahlah kalau aku ambil ni dan basuh, kan?” aku memulang paku, buah keras kepadanya. Wajahnya kemerah-merahan. Aku merampas kembali seluar dalam itu dan memasukkannya ke dalam bakul pakaian kotor. Haq masih tercengat di tepi pintu bilik air sambil terkebil-kebil.

  “ Nanti turun breakfast di bawah ye, suamiku!” usikku sambil berlalu. Dia tersengih sambil mengaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

                                                                    ********************

  Aku tiba-tiba teringat sesuatu ketika aku melintasi kalender yang melekat di pintu peti ais. Tanganku sedang sibuk mencapai teh dan gula ketika itu. Tiba-tiba sahaja, mataku tertancap pada tarikh hari ini. Tarikh bermulanya penyeksaan hatiku dan meruntun jiwa nuraniku. Hari ini, genap setahun permergian mak dan ayah. Kehilangan yang penuh dengan tragedi. Tragedi yang meragut nyawa mereka. Dan, meragut kebahagiaanku!

  Aku masih ingat lagi. Betapa bahagianya aku pagi itu. Cuti semester bermakna peluang bermanja-manja dengan mak dan ayah yang amat jarang aku temui. Bayu Kampung Genting Pecah seakan mengamit diriku yang sedang menunggu bas di Stesen Bas Puduraya.

  “ Alah, nak mati pula telefon ni!” rungutku sendirian. Aku sudah terlepas bas yang pertama untuk balik. Terpaksalah berkorban duit untuk membeli tiket bas yang seterusnya. Serba tak kena hari ni! Sudahlah terlewat sampai, terlepas bas pula! Bateri telefon bimbit pula hampir kosong! Aku mengeluh.
Perlahan, aku membuka dompet. Duit syiling kedengaran berdenting-denting di dalamnya. Aku memandang sebuah pondok telefon di tepi kaunter tiket. Aku segera mencapai ganggang dan memasukkan duit. Hajatku untuk menelefon mak.

  “ Assalammualaikum..”

  “ Waalaikumsalam, mak. Nur ni! Maaflah sebab Nur tak telefon pakai handphone. Bateri nak habis. Nur Cuma nak bagitau mak, Nur dah terlepas bas, jadi lambat sikit sampai. Tapi, tetap balik. Mak jangan risau. Petang nanti Nur sampailah,” kataku dengan cepat kerana tidak mahu membazirkan duit syiling yang ada.

  “ Ah, tak apalah kalau macam tu. Tapi, Nur cuba tau sampai cepat ke rumah ya? Hati-hati,” kata mak dengan tenang. Aku dapat menangkap suara ayah yang sedang membebel-bebel di hujung talian.

  “ Ayah membebel apa tu?”

  “ Ayah Nur tak apa- apa, Cuma tadi….eh, nantilah mak cerita. Nur balik dulu rumah ya,” kata mak. Suaranya berubah menjadi kelat. Aku cuba memaksanya bercerita tetapi dia memintaku untuk bersabar hingga balik ke rumah nanti. Aku terpaksa akur.

  Aku terus menarik beg besarku setelah selesai menelefon mak. Pengajianku yang berbaki setengah tahun lagi meyebabkan aku membawa sebahagian besar barang-barang yang aku tidak gunakan lagi untuk memudahkan aku apabila selesai pengajian nanti. Dalam pada sibuk aku menyumbat beg ke dalam tempat mengisi barang di bahagian bawah bas, handphone bergetar menandakan ada pesanan ringkas yang masuk ke dalam inbox.

NUR, CUTI NI AKU BALIK KAMPUNG! YAHOO!! SERONOK GILA! KAU TAK BALIK KE? AKU DA H LAMA TAK JUMPA KAU! BALIKLAH! RINDU SANGAT NI! SAMBAL TUMIS KRANG KAU TU DAH MENARI DEPAN MATA AKU!

  Mesej teks dari Haq! Aku hanya ketawa kecil. Sambal tumis kerang ya? Amboilah, belum sampai dah pesan macam-macam. Dia betul-betul teruja ingin pulang berjumpa datuk dan neneknya, Haji Abdul Rahman dan Hajah Khadijah. Aku membalas mesej teks itu dengan segera sebelum handphoneku menamatkan riwayatnya.

INGAT DAH LUPA KAMPUNG SENDIRI. MAKLUMLAH, DAH LAMA SANGAT DI US. PASTU KERJA KAT K.L. NTAH2 SAMBAL TUMIS AKU PUN KAU DAH LUPA BAU MACAMANA,TAU TIPU JE! HUHU. INGAT AKU NAK PERCAYA KE?

  Aku sengaja mengusiknya. Aku faham kesibukan Haq di tempat kerja. Sebagai arkitek, dia tidak punya masa untuk berlibur sementelah masih hijau dalam bidang itu. Banyak yang perlu dia pelajari sebelum menjadi seorang yang pakar.

  Mesej teks singgah lagi. Namun, belum sempat aku membacanya, telefon bimbit terpadam. Tamatlah sudah riwayat barang kesayangannya aku itu. Aku melangkah perlahan memasuki perut bas sebelum enjin berderum kuat menandakan bas akan bertolak sekarang.

  Sepanjang perjalanan pulang ke kampung, aku terkenangkan Haq. Betapa kami sangat dewasa sekarang. Aku masih ingat lagi bagaimana dia selalu membonceng aku di belakang basikal tua milik datuknya atau lebih mesra dipanggil orang kampung sebagai Imam Rahman. Haq dijaga oleh mereka sejak kecil lagi kerana ibu bapanya melanjutkan pengajian di Jordan. Bapa Haq, Datuk Haji Iman, atau lebih mesra aku panggil Haji Iman, adalah seorang arkitek Senibina yang cukup disegani. Isterinya, Datin Hajah Ramila, juga seorang arkitek tetapi dia lebih meminati hiasan dalaman rumah. Namun, setelah anak-anaknya membesar, dia lebih suka menghabiskan masa menjaga cucunya.

  Haq memang sangat nakal sewaktu kecil dulu. Walaupun dia cucu kepada imam di kampung itu, tetapi perwatakannya sama saja seperti kanak-kanak lelaki yang lain. Suka mandi sungai, berbasikal keliling kampung, ponteng mengaji dan kadang-kadang curi-curi makan di bulan puasa. Kadang-kadang, apabila ditangkap oleh Imam Rahman, jenuh juga melihat dia dirotan. Imam Rahman memang tegas dalam mendidik Haq. Namun dia amat menyayangi cucunya itu.

  Aku amat rapat dengan Haq. Menurut cerita datuknya, sejak kecil lagi Haq menjaga aku. Jarak usia tiga tahun antara kami tidak pernah merubah apa-apa. Dia masih suka untuk bersiar-siar denganku dan kawan-kawan sekampungku; Noni, Bulat dan Din. Kadang-kadang, dia sama-sama mengulangkaji pelajaran denganku. Imam Rahman juga sudah menganggap aku sekeluarga seperti keluarga mereka sendiri. Kenduri-kendara apapun, mereka akan datang membantu seperti tuan rumah, begitu juga kami. Aku menyayangi mereka seperti datuk dan nenekku sendiri. Haq juga melayan aku seperti adiknya sendiri. Aku masih ingat, dia sanggup berbasikal berkilometer jauhnya semata-mata ingin menjemputku dari kelas tambahan di sekolah. Ketika itu, aku sedang sibuk untuk mengambil peperiksaan UPSR. Dan Haq juga sibuk untuk peperiksaan PMR.

  Perangai nakal Haq mula beransur hilang ketika dia memasuki sekolah menengah. Pun begitu, ada satu saja perkara yang tidak pernah berubah. Dia masih suka melepak bersama-sama aku dan kawan-kawan, sehingga dia melanjutkan pengajian ke Amerika Syarikat. Dan, semenjak hari itu dia tidak lagi pulang ke kampung. Dia terlalu sibuk tetapi masih sempat menghubungiku. Haji Iman juga masih lagi menjenguk keluargaku dan membantuku hingga aku masuk ke IPTA.

  Aku sangat bersyukur kerana Haji Iman sangat murah hati untuk membantuku dan memberi kata-kata semangat. Kadang- kala, aku segan dengan kebaikannya. Ada masanya aku seakan ingin menolak pertolongannya, kerana mengenangkan riak wajah isteri dan anak perempuannya yang seakan meluat dengan aku yang sering dimanjakan oleh Haji Iman. Hajah Ramila tidak menyenangiku. Mungkin cara penampilanku yang tidak bertudung dan nampak agak berbeza dengan kaum keluarga mereka. Namun, aku lihat Imam Rahman dan Nenek Salbiah tidak pernah membezakan perwatakan aku dengan mereka. Mereka menerimaku seadanya.

  “ Mak! Mak!”

  “ Nur!!” jerit emak. Dia memelukku dengan juraian air mata. Aku terasa kesal kerana tidak pulang ke kampung pada cuti semester yang lepas. Aku terlalu sibuk dengan kertas kerja kuliah sehingga aku terpaksa melupakan cutiku.

  “ Nur Hikmah, anak ayah!” ayah memelukku. Aku rasa amat terharu. Mereka sangat merinduiku.

  “ Maaf, mak.. ayah. Cuti lepas, Nur terlalu sibuk sangat,” kataku dengan nada yang sebak.

  “ Tak apalah, nak buat macamana. Pelajaran Nur lebih penting. Ayah nak, Nur jadi pelajar terbaik tahun ni!” kata ayah dengan penuh semangat. Aku mengukir senyuman manis. Tiba-tiba, aku terbau sesuatu.

  “ Mak, mak masak sambal tumis, lepas tu tinggalkan atas dapur ke?” tanyaku. Ayah memandang emak, spontan.

  “ Juriah, awak biarkan budak-budak tu? Nanti patah tangan diorang!”

  “ Diorang? Budak-budak? Siapa?” aku terus meluru masuk tanpa mendapat penjelasan dari emak. Siapa pula yang baik hati sangat menolong emak memasak di dapur?

  Sebaik sahaja kakiku melangkah ke dapur, aku melihat Noni sedang berpeluh-peluh mengacau sambal di atas dapur. Din sibuk memotong ayam di tepi sinki. Sesekali, dia memberi kata-kata semangat kepada isterinya yang sedang membonyot perutnya itu. Botak juga ada, sedang menitiskan air mata. Bukan kerana terharu, tetapi kerana sedang mengupas bawang besar.

  “ Mak Ju…dahlah.. tak larat ni, pedih mata!” jerit Botak. Aku tertawa kecil.

  “ Aik, baru dua biji bawang, mana cukup? Kau ni, anak jantan ke tak ni?” pertanyaan emak disambut dengan gelak tawa kami semua. Botak mencebik sedih.

  “ Nur!” Noni segera meninggalkan sambal yang dikacaunya tadi dan memelukku erat. Aku mengusap perutnya yang makin membonyot.

  “ Mak kau ni, dapat tau aje kau nak balik terus telefon kitorang. Datang-datang aje, tiba-tiba kena suruh masak,” kata Noni seakan ingin mengadu kepadaku. Aku hanya ketawa kecil.

  “ Yelah, tuan puteri nak balik. Mestilah diraikan besar-besaran,” sampuk Botak dari belakang. Tangannya masih sibuk mengelap air mata yang berjuraian.
  
  Aku tersenyum apabila memandang kawan-kawanku sibuk memasak untuk meraikan aku yang jarang pulang ke kampung. Tentu mereka semua merinduiku.

  “Oh, nanti Haq balik tau,” aku bersuara. Noni sudah tersenyum sipu. Botak menyiku lengan Din. Din mengangkat keningnya.

  “ Tiba-tiba kau sebut nama Haq tu, kau rindu dia ke?”

  “ Taklah. Memang dia nak balik pun. Dia bagitau aku tadi,”

  “ Kalau dia tak balik macamana? Kan dia selalu macam tu..” balas Din dengan senyuman yang penuh bermakna. Aku hanya tersenyum manis. Memanglah Haq sudah mungkir janji sebelum ini. Tetapi, kali ini hatiku yakin yang dia akan pulang. Mesej teks yang dihantarnya tadi bagai sudah menjanjikan kepulangan Haq.

  “ Sedihlah tu,” kata Noni, mengusikku. Aku hanya memeluknya erat.

  “ Tak adalah! Kalau dia tak balik nak buat macamana. Dia sibuk. Kita kena fahamlah,” balasku.

  “ Bagus betullah dapat kawan yang understanding macam kau ni,” kata Din.

  “ Yelah. Kenalah faham. Aku tak kecewa pun,” kataku sambil melabuhkan dudukku di atas kerusi. Tak apalah, apa boleh buat kalau Haq tak balik? Bisik hatiku perlahan.
  
  “ Betul kau tak kisah?” balas Noni. Wajahnya kelihatan ceria sahaja. Aku mula merasa ada sesuatu yang pelik telah berlaku.

  “ Ya, aku tak kisahlah. Tak ada Haq pun tak apa,” kataku, perlahan. Aku cuba juga menyembunyikan rasa kecewa. Tetapi, aku kena faham kalau Haq tidak boleh pulang bercuti.

  “ Macam tu, nak baliklah!” aku terkejut. Aku memandang tiga orang kawanku yang duduk di hadapanku. Mereka tidak bersuara walaupun satu ayat pun. Masing-masing mengangkat kening.

  “ Kalau kau tak kisah, aku baliklah macam ni,” aku berpaling. Cepat. Haq sedang berdiri di hadapanku dengan tangan yang penuh dengan pucuk paku dan wajah yang berpeluh. Dahinya berkerut. Aku menjerit kecil.

  “ Haq, kau tak cakap pun!”

  “ Aku mesej kau, tapi tak balas-balas pun!”

  “ Sorrylah, bateri tak ada,”

  “ Nanti baca tau,” katanya sambil tersenyum. Wajah Haq yang manis seakan meruntun jiwa nuraniku. Terlalu lama sangat dia pergi meninggalkan kami semua. Kali ini, dia menunaikan janjinya untuk pulang ke pangkuan kami.

  “ Haq, jangan tenung lama-lama. Nanti layu pucuk paku tu!” usik Din. Mereka semua mentertawakan kami berdua yang saling tenung merenung satu sama lain. Aku mengalihkan mataku cepat.

  “ Haq, cepatlah! Mata aku macam nak tercabut ni!” kata Botak, selamba. Mungkin dia sengaja ingin mematikan adegan kami berdua. Aku ketawa besar sambil mencapai pucuk paku dari tangan Haq. Berdua bersama Haq? Itu perkara yang mustahil. Aku tak pernah cintakan Haq. Tapi, betulkah?

  “ Ok..back to work guys!” jerit Haq. Emak tersenyum panjang. Seronoklah dia hari ini! Cuci tangan, cuci kaki. Kami semua bertungkus lumus menyiapkan hidangan tengahari.

  Alangkah seronoknya percutian kali ini! Macam reunion pula rasanya. Kami berbual, bergurau dan bergelak ketawa sesama mereka. Botak yang sudah pun menjadi taukeh besar pasaraya di kampung kami itu, sibuk sahaja mempromosikan pasaraya barunya itu. Din yang paling seronok sekali. Tahun ini, dia tidak menyemak kertas peperiksaan SPM, jadi peluang keemasan untuk tinggal di kampung lebih lama. Tambahan pula, Noni sedang sarat mengandung. Dalam perut membonyotnya itu, dia sempat lagi mengambil tempahan menggubah hantaran perkahwinan. Dalam pada itu, dia mengusik aku yang masih bujang dan sibuk belajar. Bila lagi, Nur? Bisiknya perlahan. Aku hanya ketawa. Semester ini, semester yang terakhir sebelum aku mendapat ijazah. Masih jauh lagi perjalanan. Entahlah!

  “ Ada lagi, mak?”

  “ Tinggal yang ni aje, Nur,” emak menghulur pinggan lauk yang terakhir. Aku mencapai pinggan itu dan mencucinya. Emak tersenyum memandangku.

  “ Kenapa ni, mak?”

  “ Tak ada apa-apalah. Saja mak nak tengok muka anak mak ni, tak boleh ke?” kata emak. Aku hanya tersengih sambil mencapai tuala tangan dan mengeringkan tanganku. Emak sedang duduk sambil menghirup teh panas.

  “ Ayah mana?”

  “ Dah tidur. Mengantuk katanya. Letih sebenarnya,”

  “ Hah, apa hal yang dah jadi pagi tadi?” tanyaku. Emak menggeleng kepalanya. Keluhan jelas kedengaran dari mulutnya.

  “ Pak Teh tu. Pagi tadi dia datang. Jenuh melobi, nakkan tapak rumah kita ni. Dari dulu lagi, sibuk aje nak merebut tapak rumah dengan sawah tu. Ayah kau tu diamkan aje, malas nak bertekak adik beradik. Tapi, sejak jadi broker tanah ni, makin menjadi-jadi pula perangai dia tu. Dah banyak yang mengadu, Pak Teh kamu tu songlap duit hasil jual tanah orang kampung ni. Ayah kau malas nak campur. Tapi bila dia beria-ia sangat nak melobi ayah kau, suruh jual tanah sawah tu, melentinglah orang tua tu. Dah tak dapat, diugut-ugut pula kami. Tak dapat cara baik, cara kasar pun boleh. Ayah kau malas nak layan. Tadi, tiba-tiba pula muncul, kali ni pakai taktik lain pula,” emak membuka cerita.

  Aku hanya ternganga mendengar cerita dari emak. Pak Teh tu, tak habis-habis hendak buat kecoh! Dulu, tanah datukku dijualnya, dengan alasan tidak diusahakan. Katanya, ingin membeli tanah lain yang lebih baik. Alih-alih, lebur begitu saja. Banyak juga tanah orang kampung yang dijualnya pada broker dan pemaju bandar. Janjinya bukan main manis macam gula, akhirnya lebur begitu sahaja. Duit pun lesap, duduk pun merempat. Bak merempat di tanah sendiri. Sesiapapun yang meminjam duit dengannya pun digulakan begitu. Tidak boleh melangsaikan hutang, tanah pun tergadai.

  “ Apalah Pak Teh tu! Ayah bukan ada hutang dengan dia,”

  “ Entahlah, katanya dulu pembahagian harta pusaka arwah datuk tu tak ikut hukum faraid? Eish, tak fahamlah mak. Lagipun, hal adik beradik ni malas mak nak campur. Mak ni menantu aje. Pak Su kau, okay aje. Dia yang beria-ia bagai,” kata emak. Ada kekecewaan di dalam nada suara tuanya itu.

  “ Mak cakap taktik baru, taktik apa ya?”

  “ Katanya nak bermenantukan Nur,” aku ketawa besar. Bermenantukan aku? Boleh jadi juga dia sanggup kerana aku anak tunggal. Sudah tentu aku akan mewarisi harta pusaka ayah. Tetapi, ini macam sudah hilang akal!

  “ Biar betul, mak. Anak dia si Irham Jebon tu bukan cukup sifat nak kahwin pun,”

  “ Kau ni dah lupa agaknya. Pak Teh kau tu berbini dua. Irham Jebon tu anak dengan Mak Teh Gayah. Dengan Mak Teh Jemi kau, kan ada seorang lagi anak. Lelaki juga. Hazri,” aku tersentak. Iya tak ya juga! Hazri…

  Aku menepuk dahi. Macamana aku boleh terlupa akan Hazri? Mungkin kerana aku jarang bertemu dengannya. Lagipun, mereka tinggal di kampung seberang. Mak Teh Gayah adalah calon pilihan arwah nenekku, yang kedua itu, dia yang pandai-pandai sendiri terkam janda mana entah! Tup tup dapat anak gagap. Khabar angin berdesir mengatakan itu semua akibat dibomoh oleh Mak Teh Gayah. Dia mungkin agak kuat juga berbomoh. Aku tidak berani menuduh tanpa usul periksa. Takut dikata membawa fitnah, kerana tiada bukti.

  Mengingatkan kembali tentang Hazri, aku kecut perut. Dia dua tahun lebih tua dariku. Aku tidak pernah tahu yang dia adalah sepupuku sehinggalah pada suatu hari aku terserempak Pak Teh menghantarnya ke sekolah. Sebelum itu, aku agak tertanya-tanya mengapa dia sering merenungku apabila kami berselisih jalan. Rupanya dia adalah sepupuku. Tetapi, mengenangkan wajahnya sahaja aku sudah kecut perut. Wajahnya menakutkan. Walaupun agak kacak, tetapi ada aura jahat seakan menyelubungi matanya. Lagipun, tindak tanduknya juga nampak merbahaya.

  Aku teringat. Suatu hari, Haq lambat mengambilku dari sekolah. Aku mengambil keputusan untuk berjalan kaki menuju ke pagar sekolah. Aku melintas di hadapan kelasnya. Suasana sangat sunyi kerana semua pelajar sudah pulang ke rumah. Tiba-tiba sahaja, Hazri muncul dan menarikku ke dalam kelasnya. Dia cuba melakukan perbuatan tidak senononhnya kepadaku. Nasib baik, Haq datang tepat pada masanya. Dapat juga Haq melepaskan satu penumbuk keras ke arah Hazri. Dan, sejak hari itu, Haq tidak meninggalkan aku lama-lama di sekolah. Dia akan terus menungguku di hadapan kelas walaupun sesi persekolahanku belum berakhir. Nasib aku baik apabila Hazri berpindah ke sekolah teknik.

  “ Jangan risaulah, Nur. Ayah dah basuh dia cukup-cukup tadi. Kecut juga dia. Lepas ni, harap-harap janganlah dia kacau kita lagi,” balas emak sambil memegang tanganku.

                                                      ********************************

  Aku tercungap-cungap. Aku cuba berpaut pada tiang katilku, namun gagal. Api cepat sahaja menyambar langsir pada tingkap.

  “ Mak!! Ayah!! Tolong Nur! Ya Allah!” jeritku. Tiada sebarang tindak balas. Aku terbatuk-batuk kerana terlalu banyak asap mengasak paru-paru. Aku memandang jam. 4.30 pagi. Cepat-cepat aku mencapai telefon bimbit di tepi bantalku. Otakku tidak mampu mengingati apa-apapun. Cuma Haq sahaja harapanku sekarang.

  “ Haq!! Tolong aku, cepat datang sini! Rumah aku terbakar!!” kataku penuh esak tangis. Api perlahan menyambar almari bajuku. Aku ingin turun dari katil apabila alang rumahku tiba-tiba runtuh. Aku menjerit ketakutan dan kepanasan.

  “ Nur! Kau okay ke?! Aku datang sekarang! Kau tunggu!” belum sempat aku menjawab, aku melihat tiang katilku mula dijilat api. Tanganku juga disengat bahang api. Telefon bimbitku terlepas dari genggaman dan jatuh. Aku mula menangis teresak-esak. Aku cuba mencapai telefon itu, tetapi ia perlahan dijilat api.

  “ Mak! Ayah!! Mak!!!” jeritku. Aku cuba menendang pintu, tetapi ianya seolah-olah dikunci dari luar. Aku cuba mengetuk tingkap tetapi seperti diselak juga dari luar.

  “ Ya Allah, selamatkan ibu bapaku dari sebarang bahaya,” aku merintih sendirian. Emak dan ayah, aku masih belum tahu nasib mereka. Sejak dari tadi, aku memanggil mereka namun dia sebarang respon. Aku menangis teresak-esak di tengah-tengah bilikku. Ya Allah, pada-Mu aku berserah dan bertawakal.

  “ Nur! Nur!” suara Haq menangkap cuping telingaku. Aku menjerit kepadanya. Pintu dipecahkan. Haq meluru kepadaku dengan selimut basah menyelimuti tubuhnya. Aku melihat Pak Kashim, Tok Ketua Nawi dan dua tiga orang pemuda kampung sibuk memadamkan api di dalam rumahku. Lututku menggigil apabila memandang hampir kesemua barang di dalam rumahku dijilat api yang marak.
Haq memelukku erat dan membawaku keluar dari bilik. Di luar rumah, aku melihat ramai orang kampung berkumpul. Nenek Salbiah mendapatkan aku dan memeluk erat tubuhku.

  “ Haq, mak ayah aku!” rayuku perlahan. Aku cuba berlari untuk masuk ke dalam. Haq menahanku.

  “ Nur, biar aku masuk. Kau duduk sini,” katanya. Orang kampung mula keluar dari rumahku. Api semakin marak. Aku mula longlai di dalam pelukan Nenek Salbiah. Pihak bomba masih belum sampai lagi.
Namun, belum sempat Haq menjejakkan kakinya kembali ke dalam rumahku, tiba-tiba kami dikejutkan dengan letupan yang amat dahsyat. Bahagian dapur sudah meletup dan api menyambar dengan amat ganas sekali, menelan rumahku sekaligus.

  “ Mak!!!!Ayah!!!!”

 “ Nak kocak sampai esok ke?” teguran Haq mematikan lamunanku. Aku mengesat mataku perlahan. Mujur Haq tidak menyedari aku menangis ketika membancuh teh tadi. Dia hanya duduk sambil bersiul di atas meja makan.

  Aku menuang teh sambil cuba tersenyum manis. Haq merenungku. Aku cepat-cepat mengalihkan pandanganku ke arah lain. Haq tidak bertanya apa-apa kepadaku. Dia sibuk mengintai mangkuk yang bertutup di hadapannya. Perlahan dia membuka penutup mangkuk itu.

  “ Wah, nasi lemak sambal sotong!” jeritnya girang. Cepat-cepat dia mencapai pinggan dan menyenduk nasi ke dalam pinggannya. Ditambah pula dengan sambal sotong yang masih berasap. Aku hanya tersengih memandang Haq yang cukup berselera menikmati apapun juadah yang aku masak.

  “ Aish, sejak aku kahwin dengan kau ni, hari-hari kenyang aku dibuatnya. Heavy breakfast, heavy lunch, tea-time, dinner, supper… gemuk juga aku nanti!” katanya. Aku tidak pasti samada Haq memujiku, atau menyindirku kerana menyebabkan dia kenyang sepanjang hari.

  “ Kau pun tahukan, aku kan suka masak. Kalau kau takut gemuk, lepas ni aku ajak kau pergi gym. Kita exercise sampai dapat balik six-pad kau tu. Confirm lepas ni, girls beratur nak keluar dengan kau,” usikanku menyebabkan wajah Haq berubah. Dia meletakkan sudu yang dipegangnya.

  “ Kenapa, Haq? Masin ke?” tanyaku, risau. Tiba-tiba sahaja Haq hilang selera. Mesti ada yang tak kena dengan masakanku pagi ini.
Tiba-tiba sahaja, dia memandangku dengan mata yang tajam. Kecut perut juga aku dibuatnya. Dia mencapai cawan di atas meja. Perlahan dia menghirup teh o yang masih panas itu. “ Kan aku dah cakap. Jangan sentuh isu tu lagi,” katanya penuh tenang. Aku telan air liur. Haq sedang marah kerana aku mengusiknya begitu.

  “ Tapi Haq, kau kan…”

  “ Kau ni, dah meluat sangat ke dengan aku ni? Nak bercerai sangat dah?” suaranya keras. Memang betullah, Haq sedang berkecil hati dengan usikkan aku tadi. Dia memang tidak dapat menerima kata-kataku.

  “ Haq, aku nak kau happy. Aku tak nak kau rasa terkongkong. Kita kahwin atas dasar persahabatan. Tak salah kalau kau nak cari perempuan lain yang kau suka. Because, this is not suppose to happened,” kataku, mempertahankan usikkan aku sebentar tadi.
Haq mengunci mulutnya. Dia pura-pura tidak dengar. Dengan cepat, dia mencapai sudu dan menghabiskan nasi lemak tadi. Aku menelan air liur. Haq sedikit pun tidak menoleh ke arahku. Dia mencapai cawan, menghabiskan teh dan bangun sambil mencapai briefcase di atas meja. Haq berlalu dengan wajah yang masam mencuka.

  “ Haq, nanti!” aku memanggilnya dengan kuat. Langkahnya terhenti. Perlahan-lahan dia berpaling kepadaku. Aku menyarungkan tali leher berwarna hitam di lehernya. Setelah membetulkan kedudukan tali leher itu, aku menjerutnya perlahan. Mata Haq yang kuyu memandangku dengan tajam.

  “ Haq, I’m so sorry..it’s just..”

  “ Nur, sekali lagi kau sentuh isu tu, siaplah kau! Kau jangan fikir yang kau tu membebankan aku. Kalau aku rasa susah sebab kahwin dengan kau, dah lama aku tinggalkan kau. Memang betul kita berkahwin sebab aku pegang amanah datuk. Tapi jangan ingat aku tak bahagia dengan kau sampai nak suruh aku bercinta dengan orang lain. Tak perlu. Buat masa sekarang, aku nak fokus pada kerja dan rumah tangga kita aje. Faham?” katanya perlahan. Aku terkedu mendengar jawapan dari Haq.

  “ Balik lunch tak?” aku cuba menjernihkan suasana kembali. Haq ketawa besar. Tangannya memegang erat jariku. Dia mengangguk sambil tersenyum dan berpaling dariku. Tiba-tiba, dia berpatah balik. Dia merenung ke dalam mataku dan tiba-tiba sahaja dia mencium dahiku. Aku terkedu. Tanpa sempat berkata apa-apa, Haq sudahpun masuk ke dalam perut BMW miliknya.

  “ Romantiknya!” teguran dari Kak Piah, jiranku menyebabkan aku tersipu-sipu malu. Hehe.



No comments:

Post a Comment