Tuesday, March 25, 2014

..dan akhirnya...

Akhirnya, setelah hampir 18 hari, segala persoalan sudah terungkai. MH370 milik Malaysia Airlines telah menamatkan perjalanan penuh tragedi di perairan Lautan Hindi. Di tengah luasnya lautan itu, MH370 tewas dan bersemadi di dalam lautan bersama 239 penumpang. Apabila berita ini diumumkan, seluruh dunia tergamam. Bagi ahli keluarga penumpang, bagaikan langit menghempap kepala. Penantian yang penuh penyeksaan selama 18 hari itu berakhir dengan kedukaan yang teramat pedih untuk dibayangkan. Jika kita, yang tiada kena mengena dengan mereka, sekadar mengikuti perkembangan terbaru di kaca televisyen merasa sedih yang teramat, apatah lagi mereka yang kehilangan seseorang yang penting dalam hidup mereka. Nadia tumpang berduka cita dengan apa yang berlaku.

Namun, kita kena redha. Ini semua adalah ketentuan Illahi. Mungkin ada yang beranggapan, "cakap senanglah, bukan kau yang kena!". Bagi Nadia, ini semua sudah tertulis. Mati itu pasti, cuma kita tidak pasti bila. Itu semua kerja Yang Maha Esa. Dia yang berkuasa atas segala-galanya. Apa sahaja yang berlaku, kita kena terima qada' dan qadar-Nya. Sedih memanglah sedih, namun kita kena teruskan hidup. Meratapi hingga menderita, itu bukan apa yang pergi itu mahukan. Nadia yakin, mereka semua mengharapkan kita meneruskan hidup dan sentiasa berdoa untuk mereka. Terimalah dengan hati yang tabah, kuatkan semangat dan berdoalah pada Yang Satu.

Bulan Mac 2014 ni sangat berlainan dengan dengan tahun-tahun yang lepas untuk Nadia. Tahun ni, bulan Mac adalah bulan yang penuh dukacita untuk Nadia. Selain dari tragedi MH370 ni, Nadia sebenarnya turut kehilangan datuk kesayangan Nadia, Mohd Idris ketika semua orang sedang mencari konklusi dan persoalan tentang MH370. Arwah meninggalkan kami semua akibat sakit tua. Sebagai cucu yang agak rapat dengan arwah, Nadia memang terkesan dengan pemergiaannya. Dia seorang datuk yang sangat baik dan suka memanjakan cucunya. Belum pernah lagi perbuatan dan perkataannya menyakitkan hati Nadia. Banyak kenangan manis yang tinggal untuk kami. Kata-katanya, senyumannya, perbuatannya, semuanya.

Nadia tahu, antara cucu-cucu arwah, yang paling terkesan sekali ialah kakak Nadia dan sepupu perempuan kami. Arwah banyak bersama mak Nadia ketika mereka menetap di Singapura dulu. Mak sering berulang alik ke Johor Baharu dari Singapura. Nadia nampak kesedihan kakak walaupun dia selalu melindungi air matanya. Nadia pun hampir menitiskan air mata bila melihat satu-satunya sepupu perempuan kami menangis tersedu-sedu ketika arwah dikafankan dan terbaring di tengah rumah untuk disembahyangkan. Namun, Nadia redha dengan pemergian arwah. Arwah sudah banyak menderita menahan kesakitan yang dia tidak pernah ceritakan kepada kami. Tapi, Nadia tahu dia cuba menguatkan dirinya. Arwah pernah kemalangan dan jari kakinya dipotong. Kakinya diimplan dengan besi menyebabkan dia jadi kurang sempurna berbanding dirinya yang lalu. Mungkin orang lain tidak tahu, tapi Nadia yakin datuk menyelindungi kesakitannya dari pengetahuan orang lain.

Bila dia sakit bulan lepas, Nadia sempat jumpa dia. Dia pegang tangan Nadia, dia genggam tangan Nadia, dia tak nak Nadia pergi dari pandangan matanya. Nadia faham apa yang dia rasa. Nadia cuba untuk tidak menunjukkan kesedihan Nadia. Nadia pura-pura kuat untuk menceriakan dirinya. Nadia nampak bening air mata bergenang dari matanya yang tua tu. Nadia cuma pesan pada dia, kalau dia tak larat, berehatlah. Sudah tiba masanya dia berehat. Nadia tahu, dia pergi dengan hati yang lapang sebab dia tak nak menyusahkan sesiapapun. Dia menangis bila Nadia cakap macam tu. Dan.. Nadia masih tersenyum supaya dia tidak susah hati bila dia lihat kita bersedih.

Sewaktu hari pengebumian datuk, Nadia memang tidak menangis walaupun sedih. Nadia dapat menerima pemergiannya. Dia pasti tak nak kita terlalu sedih bila dia pergi. Nadia terima dengan penuh redha. Sudah sampai masanya dia berehat di samping Illahi. Nadia sentiasa berdoa agar dia tenang di sana. Walaupun Nadia tak cium dahinya buat kali terakhir, namun Nadia nak datuk tahu yang Nadia selalu menyayanginya.. sampai bila-bila..

AL-FATIHAH....

No comments:

Post a Comment